SINGAPURA: Tiga individu layak bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Presiden Singapura, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) republik itu pada Jumaat.

Mereka terdiri daripada bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Dalam satu kenyataan, ELD berkata sehingga akhir tempoh permohonan Sijil Kelayakan pada 5.30 petang Khamis (17 Ogos), Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden menerima enam permohonan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu hanya mengeluarkan Sijil Kelayakan kepada tiga individu berkenaan.

ELD juga telah memaklumkan mengenai keputusan permohonan kepada ketiga-tiga individu yang berjaya.

Pilihan Raya Presiden Singapura ditetapkan pada 1 September, manakala Hari Penamaan calon pada 22 Ogos selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengeluarkan Writ Pilihan Raya pada 11 Ogos.

Presiden Halimah Yacob yang penggal perkhidmatannya berakhir pada 13 Sept telah mengumumkan tidak bertanding untuk penggal kedua.

ELD berkata pemohon yang tidak berjaya telah dimaklumkan mengenai sebab penolakan permohonan mereka.

"Menurut peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya Presiden (Sijil Kelayakan) 2017, Jawatankuasa hanya boleh menyatakan alasan menolak permohonan mengikut perkara yang ditetapkan dalam peraturan 11(3) dan tidak boleh berbuat demikian di luar keadaan itu.

"Oleh itu, Jawatankuasa tidak akan mengumumkan alasan penolakan permohonan calon yang tidak berjaya," menurut kenyataan itu.

Nama pemohon yang tidak berjaya juga tidak akan disiarkan, selari dengan kebimbangan yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Perlembagaan 2016 bahawa bakal pemohon mungkin dinasihatkan supaya tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang kerana bimbang diaibkan.

Bagaimanapun, jabatan itu berkata pemohon yang tidak berjaya tidak akan dihalang daripada menyiarkan alasan penolakan pencalonan mereka.

-- BERNAMA